Ahad, 28 Disember 2008

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah

Assalamualaikum. Kepada semua yang melayari blog ini ducapkan selamat tahun baru Hijrah 1430. Marilah kita sama-sama menanamkan azam untuk memperbaiki diri kita iaitu baik dari tahun-tahun sebelumnya. Marilah kita berhijrah dari keburukan kepada kebaikan dan dari kebaikan kepada yang lebih baik. Allah sentiasa memberi kita peluang untuk memperbaiki diri. Oleh itu perkemaskanlah langkah kita dan sertakan usaha dengan tawakal supaya kita bersedia untuk hari esok. Selamat Menyambut Tahun Baru 1430 Hijrah.

Kisah Lucu 1

Pada suatu hari ada seorang yang kurang siuman yang takut kepada kucing. Orang ini menyatakan bahawa dia adalah tikus kecil dan takut kucing akan memakannya. Oleh sebab perkara ini berlarutan, maka orang kurang siuman ini dimasukkan ke dalam hospital sakit jiwa. Setelah beberapa bulan ditahan, doktor melihat ada perubahan positif terhadap orang ini. Doktor melihat pesakit itu telah normal semula. tetapi doktor perlu memberi ujian sebelum membenarkan orang itu keluar.

Doktor: " apa khabar kamu?"

Pesakit: " Baik tuan doktor."

Doktor: " Kamu adalah seorang manusia."

Pesakit: " Betul tuan doktor, saya adalah manusia."

Doktor: " Bagus. kamu bukan tikus kecil."

Pesakit: " Ya tuan doktor, saya bukan tikus kecil."

Doktor: " Kerana kamu sudah pulih, kamu boleh keluar dari hospital ini pada esok hari."

Pesakit: " Tapi doktor."

Doktor: " Tapi apa?"

Pesakit: " Jika saya keluar esok, adakah kucing sudah tahu saya bertukar menjadi manusia?"

Ahad, 7 Disember 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan kepada kaum keluarga dan sahabat handai khususnya dan seluruh umat Islam seluruh dunia amnya. Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban pada tahun ini disambut pada 8 Disember 2008.

Hari Raya ini memperingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Allah Ibrahim Alaihisalam dan anaknya Ismail Alaihisalam. Nabi Allah Ibrahim Alaihisalam telah mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih anak kesayangannya sendiri. Nabi Ibrahim telah menyatakan perintah Allah itu kepada anaknya Ismail. Nabi Ismail redha dengan perintah Allah dan membenarkan ayahnya menjalankan perintah. Ketika hendak menyembelih anaknya, tiba-tiba anaknya bertukar menjadi kibash (kambing). Oleh itu umat Islam disunatkan untuk menyembelih binatang sebagai korban dan diagih-agihkan.

Dari peristiwa itu kita dapat pengajaran bahawa setiap manusia perlu berkorban. Pengorbanan ini bukan saja dengan menyembelih kambing atau lembu atau unta semasa Aidil Adha tetapi juga pengorbanan dalam segenap hal kehidupan ini. Kita perlu mengorbankan masa untuk perkara-perkara yang baik atau berkebajikan seperti menuntut ilmu yang mengambil masa sepanjang kehidupan kita. Selain itu kita juga perlu bekorban wang ringgit dan tenaga untuk keluarga, agama, bangsa dan negara. Kita juga perlu berkorban dalam memberikan tunjuk ajar dan nasihat kepada rakan-rakan dan masyarakat serta banyak lagi pengorbanan yang patut kita lakukan dari masa ke semasa hingga akhir usia kita.

Setiap pengorbanan yang kita lakukan perlulah dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Jangan kita mengharap balasan dari manusia kerana ianya terlalu kecil berbanding balasan dari Allah. Kita perlu sentiasa melihat ke bawah kerana jika kita mengatakan kita susah, ada lagi orang yang lebih susah dari kita. Ini akan membuatkan kita sedar bahawa betapa beruntungnya kita berbanding orang lain yang lebih susah. Dengan rasa tanggungjawab ini kita bantu mereka yang susah sekadar yang mampu. Jangan pula kita membantu orang sehingga diri kita pula susah.

Akhir kalam, Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua. Saya memohon maaf jika ada kesilapan dalam penulisan ini.