Ahad, 7 Disember 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan kepada kaum keluarga dan sahabat handai khususnya dan seluruh umat Islam seluruh dunia amnya. Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban pada tahun ini disambut pada 8 Disember 2008.

Hari Raya ini memperingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Allah Ibrahim Alaihisalam dan anaknya Ismail Alaihisalam. Nabi Allah Ibrahim Alaihisalam telah mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih anak kesayangannya sendiri. Nabi Ibrahim telah menyatakan perintah Allah itu kepada anaknya Ismail. Nabi Ismail redha dengan perintah Allah dan membenarkan ayahnya menjalankan perintah. Ketika hendak menyembelih anaknya, tiba-tiba anaknya bertukar menjadi kibash (kambing). Oleh itu umat Islam disunatkan untuk menyembelih binatang sebagai korban dan diagih-agihkan.

Dari peristiwa itu kita dapat pengajaran bahawa setiap manusia perlu berkorban. Pengorbanan ini bukan saja dengan menyembelih kambing atau lembu atau unta semasa Aidil Adha tetapi juga pengorbanan dalam segenap hal kehidupan ini. Kita perlu mengorbankan masa untuk perkara-perkara yang baik atau berkebajikan seperti menuntut ilmu yang mengambil masa sepanjang kehidupan kita. Selain itu kita juga perlu bekorban wang ringgit dan tenaga untuk keluarga, agama, bangsa dan negara. Kita juga perlu berkorban dalam memberikan tunjuk ajar dan nasihat kepada rakan-rakan dan masyarakat serta banyak lagi pengorbanan yang patut kita lakukan dari masa ke semasa hingga akhir usia kita.

Setiap pengorbanan yang kita lakukan perlulah dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Jangan kita mengharap balasan dari manusia kerana ianya terlalu kecil berbanding balasan dari Allah. Kita perlu sentiasa melihat ke bawah kerana jika kita mengatakan kita susah, ada lagi orang yang lebih susah dari kita. Ini akan membuatkan kita sedar bahawa betapa beruntungnya kita berbanding orang lain yang lebih susah. Dengan rasa tanggungjawab ini kita bantu mereka yang susah sekadar yang mampu. Jangan pula kita membantu orang sehingga diri kita pula susah.

Akhir kalam, Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua. Saya memohon maaf jika ada kesilapan dalam penulisan ini.

Tiada ulasan: